Thursday, December 29, 2011
Pertemuan yang dinantikan-satu catatan peribadi
Keesokan harinya, beliau menaiki bas dari Miri jam 8.00 pagi dan sampai di Kota Kinabalu kira-kira jam 9.00 malam.
Satu malam di Kota Kinabalu, ibu Tini berangkat lagi dari Terminal Inanam jam 7.00 pagi dan tiba jam 6.00 petang di Tawau, di Pantai Timur Sabah.
Bayangkan berapa jauh jarak yang ditempuh oleh ibu Tini.Bayangkan berapa jam ibu Tini perlu duduk dalam bas, hanya semata-mata untuk menunaikan hasrat untuk bertemu keluarga yang terpisah sejak lima generasi yang lalu.
Kisahnya bermuara daripada Muhd Arif. Sebelum dilantik sebagai kadhi Kerajaan Kesultanan Bulungan, Muhd.Arif Syafie telah mendirikan rumahtangga dengan Nur'ain di Pontianak, yang terletak Kalimantan Barat sekarang ini.Beliau mempunyai beberapa orang anak, antaranya Aminah, dan Idris yang di kemudian hari menyusulinya ke Tanjung Selor.
Di Tanjung Selor, di tempat yang kini dikenal tanah seribu, Muhd.Arif berkahwin dengan Ainun Jariyah yang juga dikenali sebagai Ibom,keturunan suluk dan berdarah bangsawan dari Ipil,Sulu.
Antara anak mereka (di tanjung selor) ialah Mohd.Salleh.Adik beradik Mohd Salleh ialah Radiah, Ahmad dan Idris. Antara anak Mohd.Salleh pula ialah Zubaidah, Berlian, Ahmad,Ramlah,Yahya,Salim,Kalsum dan Osman.
Berlian adalah ibu kepada mertua saya,Nurdin bin Hassan.
Sementara itu, anak Muhd.Arif Syafie yang berada di Pontianak ialah Aminah. Aminah berkahwin dengan Mohd.Ali bin Mahmuddin.Mereka melahirkan anak bernama Ahmad, Abdullah dan Mohd.Amin. Antara anak-anak Abdullah pula ialah Zawawi, Siti Hamnah, Siti Dasimah,H.Abdurrauf, Wagimah dan Rahimah manakala anak Ahmad pula bernama Usman, yang salah seorang anaknya bernama Hassan.Abdullah merupakan ayah kepada Haji Abdurrauf manakala Wagimah ialah ibu kepada Ibu Dra.Agustini.
Dra Agustini inilah yang sanggup menempuh perjalanan beratus kilometer jauhnya dari Kota Pontianak untuk bertemu keluarga yang ada di Tawau, kerana sebahagian lagi keluarga berada di Tanjung Selor,Kalimantan Timur.
Uniknya, walaupun pelbagai usaha dilakukan kedua pihak untuk menjejaki keluarga, mereka tidak pernah bertemu. Mertua saya, Nurdin bin Hassan (kini telah kembali ke rahmatullah) semasa hidupnya sentiasa berkirim surat dengan Usman Ahmad iaitu ayah kepada Pak Hassan selain kepada Osman Kari, yang juga keluarganya. Anak Osman Kari yang bernama Nordin, pada usianya kira-kira 18 atau 20 tahun, pernah sampai ke Tawau untuk mencari sepupunya, iaitu mertua saya, yang juga bernama Nurdin tetapi tidak bertemu.Sehingga akhirnya dia pulang, sangkut di Miri, bekerja di Offshore dan berumahtangga di sana.Osman Kari ini juga adalah mertua kepada Ibu Dra Agustini.
Surat yang begitu lama tersimpan itu akhirnya ditemui, dan disiarkan melalui blog www.keluargakitabersama.blogspot.com. Tetapi hanya apabila saya bergabung dalam facebook dan berkenalan dengan seorang pemuda yang baik hati, Herry Uswanda, yang sanggup bermotosikal di tengah musim hujan untuk mencari keluarga di Gang Mempelam, dan alhamdulillah beliau dapat menemuinya.
Setelah itu, kami kemudian berangkat ke Kota Pontianak http://www.keluargakitabersama.blogspot.com/2010/10/kenang-kenangan-ketika-di-pontianak.html dan dengan izin Allah yang maha pengasih, kami akhirnya bertemu pada satu malam selepas maghrib di Hotel Muslim Kota Pontianak.Dari sana, Pak Hassan membawa kami bertemu keluarga, Ibu Hasanah dan Rosdiah. Dan kemudian bertemu pula dengan Haji Abdurrauf yang kami panggil abah. Dan pada malam, sebelum saya dan isteri, Fauziyah berangkat pulang, lobby Hotel Muslim itu penuh apabila keluarga Abah berkumpul untuk bertemu pada malam itu.
Pada kunjungan kedua ke Pontianak, saya hanya sempat bertemu dengan Abah dan kesemua anak lelakinya,Rusman Najib, bang Nanang, abang yang menjadi lurah di Sintang, Rusnadi dan anak-anaknya yang lain dan kami sempat minum di sebuah restoran, tidak jauh dari Museum Pontianak.
Bagaimanapun, selepas saya balik dari Mempawah, kami tidak sempat bertemu kerana hujan ribut mengakibatkan banjir memukul Sungai kapuas menyebabkan berpuluh rumah hanyut.
Ibu Tini yang berkunjung ke rumah pamannya, Haji Abdurrauf merasa agak teruja untuk bertemu keluarga dan setengah kesal bertanya kenapa tidak diberitahu mengenai kunjungan kami itu.Sebenarnya tidak sempat diberitahu kerana kami berkunjung hanya sehari ke kota Khatulhistiwa.
Sejak itu kami sentiasa berkomunikasi melalui telefon, sms dan facebook. Kira-kira setahun lima bulan kemudian, iaitu 27 Disember, Ibu Tini, anaknya agus yang entah kenapa dipanggil mokmok itu, dan fazirah, anak pakcik Nurdin dari Miri, tiba di Kota Kinabalu kira-kira jam 9.00 malam.
Bersama Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Tuan Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan, kami menyambut ibu Tini di perhentian bas yang terletak di depan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Ketika minum di Seri Sempelang, Asia City, ibu Tini sempat bercerita mengenai perjalanan mereka. Tentang istilah `bertolak' yang agak asing bagi mereka di sana, dan juga mengenai panggilan `auntie' dan `uncle' yang agak asing bagi telinga mereka disana.Tentang kebiasaa ibu Tini membawa bekal dalam perjalanan kerana susahnya mencari restoran Muslim di Miri dan juga cerita mengenai keluarga, dan sebagainya. Kebetulan ibu Tini punya kegemaran memasak. Saya bercerita ketika kunjungan ke Pontianak itu, tidak lama selepas kejadian pesawat tergelincir di Bandara Supadio dan kebetulan wartawan Tvone yang meliputnya ialah ,Tutwuri Handayani, adik ibu Tini sendiri.
Dra Agustini adalah guru matematik di SMA Negeri 8,Pontianak. Kalau bukan cuti sekolah,akan sukar bagi beliau untuk datang ke Sabah, menempuh perjalanan kira-kira 64 jam dalam bas pergi balik Kota Pontianak-Kuching-Miri-Brunei-Kota Kinabalu-Tawau
Beliau juga sempat memperlihatkan mengenai silsilah keluarga, dan foto-foto perkahwinan mereka. Keesokan harinya, pada 28 Disember, mereka berangkat ke Tawau dengan bas Tung Ma.
Jika tidak salah, ketika ini, menurut telefon isteri saya, Fauziyah, mereka sedang menjamu selera bersama keluarga di Tawau, di rumah Ain, di Taman Green.
Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah kerana mempertemukan keluarga kami.Semoga memperkukuhkan tali silaturrahmi untuk kami menyempurnakan amanahMu untuk menyebarkan persaudaraan, kedamaian dan kesejahteraan di bumiMu ini.
Sunday, October 31, 2010
KENANG-KENANGAN KETIKA DI PONTIANAK
oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
Pontianak Post melaporkan bahawa tujuh pengebom ditangkap di Singkawang di halaman depan akhbar pagi itu. 17 Julai. Alasan pengeboman dikatakan kerana sakit hati berkaitan polemik perebutan patung naga. Sementara itu, masih di muka depan akhbar yang sama, Shireen Sungkar masih jadi dambaan Adly Fairuz.Hubungan asmara mereka sudah terkandas tetapi Fairuz mengaku masih cinta dengan bintang sinetron Cinta Fitri itu. Pontianak Post juga memetik laporan akhbar Sarawak mengenai tertangkapnya lapan warga Malaysia termasuk `Datuk dan isterinya' bagi membantu sindiket perdagangan bayi.
Laporan yang tidak kurang menariknya ialah langkah Hotel Sofyan, sebuah hotel syariah di Jakarta yang menolak pasangan yang bukan muhrim dan tidak berstatus suami isteri untuk menginap di hotel mereka. Berita yang tersiar dalam akhbar Pontianak Post, pertama dan terutama di Kalimantan Barat itu sempat membuat isteri saya terkejut. Tetapi kemudian menarik nafas lega kerana isteri saya selalu membawa sijil nikah kami jika ke luar negeri.
Ketika itu kami sedang menaiki oplet dalam perjalanan menyusuri Kota Pontianak, yang menjadi ibu kota Kalimantan Barat. Antara misi lawatan kami ke kota khatulhistiwa itu adalah untuk menjejaki susur galur keluarga seorang ulama bernama Muhd.Arif Syafie. Beliau dikatakan berasal dari kota Pontianak sebelum dilantik menjadi kadi di Kesultanan Bolongan, sebuah kerajaan yang terkenal di Kalimantan Timur sebelum hampir kesemua kerabat dan waris kesultanan dibunuh dan dibuang ke Laut Tarakan.
Generasi kelima dan keenam Muhd.Arif itu tersebar bukan saja di Pontianak di Kalimantan Barat, Tanjung Selor, Berau, Tarakan di Kalimantan Timur tetapi juga di Tawau, Sabah. Kisah yang telah berpuluh tahun terpendam itu , kami telusuri,semoga ia dapat memberikan sedikit informasi mengenai sejarah perkembangan Islam di Nusantara.
Bersama seorang kerabat, Pak Hasan Usman , kami berkunjung Gang Mempelam. Di sana kami dipertemukan dengan Ibu Hasanah dan Rosdiah dan lain-lain yang telah menyimpan rindu untuk bertemu keluarga sejak sekian lama. Ada yang masih menyimpan kad hari raya, dan foto-foto lama keluarga mereka yang berada di Tanjong Selor dan di Tawau.
Dari sana kami berkunjung pula ke rumah Haji Abdurrauf Abdullah, seorang budayawan dan pernah menjadi Kepala Dinas Pendidikan dan Kebudayaan di Sintang. Beliau juga merupakan keturunan Muhd.Arif daripada anaknya yang bernama Aminah. Aminah berkahwin dengan Mohd Ali bin Mahmuddin. Mereka melahirkan anak bernama Ahmad, Abdullah, dan Mohd.Amin. Antara anak-anak Abdullah pula ialah Zawawi, Siti Hamnah, Siti Dasimah (ketiga-tiganya meninggal), H.Abdurrauf, Wagimah (Meninggal) dan Rahimah manakala anak Ahmad bernama Usman. Usman pula merupakan ayah kepada Pak Hasan manakala Abdullah merupakan ayah kepada Haji Abdurrauf ini.
Kunjungan kami ke rumah Haji Abdurrauf itu memberikan pengalaman yang amat berharga buat kami. Dari sana, saya mengetahui sebab musabab mengapa ketika menikah dahulu saya diminta menggigit besi atau pisau
"Menggigit besi siken mempunyai arti dan makna suatu filsafah orang tua-tua.Keras besi lebih keras lagi semaangat dalam kehidupan berumah tangga agar sejahtera.Tajam pisau kerana diasah, demikian tamsil segala tingkah, tiadalah senang sebelum susah.Untuk mencapai kesenangan dan kebahagiaan harus berjuang dalam artian berusahalah dari bawah.Kebahagiaan dan kesenangan tidaklah datang dengan sendirinya," katanya.
Lantas, apa maknanya menginjak telur?
Menginjak telur adalah adab para leluhur,kata Haji Aburrauf Abdullah lagi. Ia mempunyai erti dan makna bagi seorang pria, bila memasuki berumah tangga, pecah telur bererti kini ia bukanlah remaja lagi. Selamat tinggal masa lalu, masa remaja.
Menginjak batu dan tanah adalah simbol lambang kehidupan dimana bumi dipijak, disitulah langit dijunjung.Sebagaimana syair dan lagu:Anak dagang di rantau orang, pandai-pandai membawa diri, biar merendah jangan meninggi, tutur kata santun budi bahasa, itulah pesan ayah bonda agar hidup selamat sentiasa.
Meniup api pelita (lilin) sebagaimana kita ketahui, api kecil sebagai kawan besar sebagai lawan yang sangat membahayakan. Diibaratkan, kalaulah kita dalam keadaan marah sebagaaimana meniup api itu padam, redalah semuanya. Insya Allah rumah tangga rukun dan damai.
Dari tempat Haji Abdurrauf itu, kami berkunjung ke Tugu Khatulhistiwa, antara mercu tanda kota Pontianak.Kota yang terletak benar-benar di atas garisan Khatulhistiwa iaitu 0'0 N, 109'20 E dengan suhu antara 22.9 hingga 31.0 memang memiliki daya tarik tersendiri.
Tugu Khatulihistiwa itu terletak di Siantan dan menjadikan kebanggaan warga kota itu. Jika berada di sana kita seolah meletakkan sebelah kaki di hemisfera utara dan sebelah kaki lagi di hemisfera selatan. Selepas itu, kami berkunjung pula keIstana Kadariah Kesultanan Pontianak di Kampung Dalam.Istana itu sangat sinonim dengan Pontianak, memang terkenal sebagai sebuah kota yang pernah menjadi pusat ketamadunan di nusantara.Kesultanan Pontianak memiliki kedudukan yang tersendiri dalam sejarah sebagai sebuah kerajaan yang terkemuka.
Kita masih boleh menyaksikan istana berdiri dengan megah.Masih banyak alat-alat kebesaran, dan barangan peninggalan sultan Pontianak yang dipelihara dengan rapi dan boleh kita saksikan ketika berkunjung ke keraton itu.
Sesudah itu, kami mengitari Kota Pontianak dan menyaksikan sebahagian kehidupan penduduknya. Dengan keluasan 107.82 km, Pontianak mempunyai penduduk seramai setengah juta orang. Sebagai ibu kota Kalimantan Barat, Pontianak merupakan sebuah kota pelabuhan dan perdagangan yang maju.Roda ekonominya digerakkan oleh warganya dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi Indonesia.
Mengapa kota itu dinamakan Pontianak? Asal nama Kota Pontianak itu ada hubungannya dengan Pontianak.Menurut cerita orang-orang tua, Syarif Abdurrahman Al Qadrie sering diganggu oleh hantu pontianak ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu gerbang Kota Pontianak. Mereka menggunakan meriam untuk mengusir hantu pontianak itu. Dimana peluru meriam itu jatuh, maka disitulah Istana Sultan didirikan.Peluru itu kononnya jatuh di kawasan Beting, Kampung Dalam Bugis, Pontianak.Dengan itu,Syarif Abdul Rahman Al Qadrie menjadi Sultan Pontianak yang pertama.
Tidak lama kemudian kami balik ke Hotel Muslim, yang terletak berdekatan di Masjid Al Arif, Jalan Tanjung Pura. Keesokan harinya dengan bas Bintang Jaya, kami berangkat meninggalkan Pontianak. Dalam perjalanan pulang itu, kami menyaksikan pemandangan yang indah dan mengasyikkan. Kami sempat singgah minum di sebuah restoran yang terletak di kawasan sawah padi. Melihat sawah menghijau, tak ada bezanya dengan sawah yang terdapat di negara kita. Entah apakah burung pipit yang terbang itu mengenal batas sempadan negara. Yang pasti pipit pipit itu tidak mungkin menceburi politik.
Saya berasa lucu dengan imajinasi sendiri. Kami sempat juga singgah di sebuah restoran Minang yang terletak berdekatan daerah Sanggau. Tempat itu akan sentiasa terpahat dalam kenangan saya kerana sebaik saja kami menaiki bas untuk berangkat pulang, saya menerima sms, ayah meninggal. Sepanjang jalan itu, saya cuba bertenang dan menenteramkan isteri saya dan mengajaknya berdoa dan membaca surah Al-fatihah.
Utusan Borneo 22 September 2010
Wednesday, September 15, 2010
Catatan tentang mak tua
Mak Tua a.k.a Syarifah Jeribok
Biar betapa susahpun hidupnya, arwah Mak Tua tetap berusaha membantu jika ada orang yang datang untuk meminta pinjam duit daripadanya.
Jika dapat sedikit duit yang diberikan anak cucunya kepadanya, Mak Tua akan mencari keluarganya yang susah, hingga sanggup berjalan hingga hujung kampung, untuk membantu mereka.
Kadang-kadang perbuatannya itu membuat geram cucu-cucunya yang selalu menghulur duit kepadanya.
Tetapi Mak Tua tetap Mak Tua. Nenek yang suka membantu biarpun dia sendiri susah hidupnya.
Kalau Mak Tua suka berjualan, mungkin Mak Tua banyak duitnya. Dulu sewaktu kami kecil di Bombalai, kata mertua saya, Mak Tua sering membuat minyak kelapa. Berbotol-botol banyaknya. Proses membuat minyak kelapa itu memakan masa yang lama dan payah.
"Itu bukan untuk dijualnya, sebaliknya ia mengagih-agihkan botol minyak kelapa itu kepada keluarga, kepada jiran-jirannya.
Di Sungai Burung, Mak Tua berkebun. Hasil tanamannya jua banyak mengeluarkan hasil terutamanya buah labu. Tetapi labu yang banyak itu, sekadar untuk diberikan kepada keluarga dan jiran-jiran atau sesiapa saja yang mahukan buah labu.
Sikapnya yang suka memberi itu, sudah menyatu dalam dirinya. Mak Tua sesungguhnya orang yang luar biasa, walaupun barangkali, hanya sesudah pemergiannya, kita belajar menghargai sikapnya.
Al-fatihah untuk Mak Tua yang telah kembali ke rahmahtullah pada 28.8.2007